Gelembung pelancongan antarabangsa: Langkawi jadi penanda aras
- Oleh ROHANA MOHD. NAWI
- 30 Oktober 2021, 4:11 pm
KOTA BHARU: Prestasi Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dijadikan penanda aras sebelum kerajaan membuka sempadan negara kepada pelancong luar.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan perlu berhati-hati dan mengambil kira semua kemungkinan kerana banyak negara masih lagi berdepan gelombang keempat Covid-19.
“Kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti negara lain selepas menerima kemasukan pelancong luar negara apabila Covid-19 kembali menular memandangkan kita baru sahaja berjaya kurangkan kes.
“Ramai yang meminta supaya kita buka sempadan kepada negara lain, namun kita perlu berhati-hati, malah kita sudah melihat banyak negara lain yang baru membuka sektor pelancongan terpaksa ditutup semula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara(JKKN) Mesran Mohd. Yusop di Pengkalan Datu, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Nancy menyampaikan sumbangan berjumlah RM85,000 kepada 31 individu dan kumpulan penggiat seni budaya di Kelantan yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.